‘Tak perlu hakimi saya’

PELAKON filem Makrifat Cinta, Sabrina Ali. – Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pelakon Sabrina Ali tidak menghiraukan pandangan skeptikal segelintir masyarakat yang gemar menilai peribadi seseorang berdasarkan penampilan fizikal apabila menghantar tiga anaknya ke sekolah tahfiz.

Sekalipun perlu mengeluarkan kos tinggi, apatah lagi statusnya sebagai ibu tunggal, pelakon filem Munafik berusia 37 tahun itu percaya, usahanya itu adalah pelaburan yang sangat berbaloi.

Bagi Sabrina, tiada yang lebih penting kecuali semua anaknya dilengkapi bekalan rohani sebagai asas mengharungi cabaran dan ujian hari depan.

“Memang sejak awal saya sudah berniat menghantar anak ke sekolah tahfiz. Sebagai persediaan awal, saya menekankan aspek asas seperti solat dan mengaji sejak mereka masih kecil.

“Saya tidak kisah pandangan orang luar kerana guru di sekolah itu tidak pernah menghakimi saya. Untuk apa melayan apa yang orang lain fikirkan. Ukuran agama dan iman, itu antara saya dan Maha Pencipta,” katanya.

Pelakon filem Munafik itu berkata, biarpun terpaksa berdepan pelbagai kesukaran, sebagai ibu dia sanggup berjuang memberikan yang terbaik demi masa depan anaknya.

“Terserah jalan mana yang mereka akan pilih selepas ini, sekurang-kurangnya mereka ada asas agama. Alhamdulillah, anak yang kecil sudah hafal beberapa surah.

“Saya anggap ia sebagai saham saya di dunia dan akhirat kelak,” katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan dua bekas suaminya, Sabrina dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ariyana, 11; Syed Aryan Khan, 7; dan Syed Adrian Khan, 5.

Sabrina bakal muncul dengan filem Makrifat Cinta yang mula ditayangkan 1 Februari ini.

Sumber:berita harian online, google

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *